Thursday, February 17, 2011

KP LEBIH BERKUASA DARIPADA PM...

'Ops Lalang 1987 atas arahan saya'


2011/02/18
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar menjelaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang (Ops Lalang) sekitar 1987 adalah atas arahan beliau, bukan kerajaan yang diketuai Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Hanif juga mengakui beliau adalah individu yang menghalang cadangan kerajaan untuk memansuhkan ISA.
Tegas beliau, arahan itu dibuat atas kapasitinya sebagai ketua polis negara yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Sebagai ketua polis, saya nasihatkan timbalan beliau, Tun Musa Hitam (Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri) tangkap 104 tahanan (Ops Lalang), bukan dia (Dr Mahathir) yang arah, saya sebagai ketua polis arah, saya bertanggungjawab dan tidak tunduk pada dia.

“Saya tunduk kepada undang-undang, ini peranan, kuasa dan kewajipan saya, Tun Dr Mahathir memang tidak suka guna ISA,” katanya pada sesi soal jawab forum bertajuk ‘Cabaran Semasa Sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia ke Arah Pencapaian Wawasan 2020’ di Bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Mohd Hanif yang berkhidmat sebagai ketua polis negara selama 20 tahun sehingga 1994 berkata, Dr Mahathir dan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mencadangkan supaya ISA dimansuhkan.

“Anwar kata boleh mansuhkan ISA, Tun Mahathir pun setuju, tapi saya minta mereka timbangkan cadangan itu kerana membabitkan soal keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Prof Dr Chandra Muzafafr yang juga bekas tahanan ISA turut mempertahankan tindakan Dr Mahathir dalam Ops Lalang dengan berkata, ia tidak ada kaitan dengan negarawan itu.

“Berdasarkan pengalaman saya, saya ditahan di Pulau Pinang dan dibawa ke Kuala Lumpur di mana saya berjumpa Tun Hanif, semasa saya berjumpa Tun Hanif beliau berkata ia adalah operasi polis dan beliau begitu konsisten,” katanya.

No comments:

Post a Comment