Thursday, December 2, 2010

islam VS kapir...

Kes hidap AIDS di AS, Eropah naik


2010/12/02
Seks bebas, penggunaan dadah jadi punca

NEW YORK: Sikap tidak peduli golongan muda menyebabkan peningkatan epidemik AIDS di Amerika Syarikat dan negara Eropah seperti Britain dan Jerman, kata seorang pakar atasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sempena sambutan Hari AIDS Sedunia, semalam.
Click Here
Perlakuan seksual membimbangkan golongan muda, terutama lelaki di negara kaya dan peningkatan AIDS di Eropah Timur dan Asia Tengah dikaitkan dengan penggunaan dadah, kata pihak berkuasa, menjejaskan tanda positif seperti pengurangan dramatik dalam jumlah jangkitan daripada ibu kepada bayi yang baru lahir.
Paul De Lay, timbalan pengarah eksekutif agensi AIDS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAIDS) berkata: “Nampaknya akan ada gelombang kedua dan ketiga epidemik itu, terutama akibat hubungan seksual.

“Anda mempunyai golongan muda yang tidak cukup maklumat mengenai AIDS, menyebabkan kurang perasaan takut mengenainya.”

Beliau berkata ia menjadi masalah utama di Britain, Jerman dan Amerika. Tanpa memberi angka khusus, beliau berkata kadar jangkitan golongan muda adalah tiga kali ganda berbanding pada awal 2000.

“Kami dapati setiap lima hingga tujuh tahun, perlu ada satu kempen baru pendidikan yang digerakkan semula. Kami melakukannya di UK dan Jerman. Di Amerika, berlaku kejadian besar-besaran penyakit jangkitan seksual AIDS.”
Menurut laporan tahunan UNAIDS yang dikeluarkan minggu lalu, terdapat anggaran 54,000 jangkitan baru di Amerika tahun lalu dan 3,900 di Jerman. Terdapat anggaran 1.2 juta penghidap AIDS di Amerika, 85,000 di Britain dan 67,000 di Jerman.

Di Eropah Timur dan Asia Tengah “terdapat ledakan golongan muda yang ingin mencuba dadah yang disuntik.”, menurut pakar PBB.

Russia dan Ukraine secara bersama mencatat hampir 90 peratus jangkitan baru HIV/AIDS sejak beberapa tahun lalu, kata laporan UNAIDS. Ukraine kini mempunyai kadar AIDS tertinggi dewasa di Eropah dan Asia Tengah.

UNAIDS berkata “wujud bukti kukuh kemunculan semula epidemik HIV di kalangan homoseksual lelaki” di Amerika Utara dan Eropah Barat.

Terdapat 3,160 jangkitan baru penghidap HIV lelaki yang melakukan seks dengan lelaki di Britain pada 2007. Di Amerika, jangkitan baru HIV disumbangkan akibat seks tanpa perlindungan antara lelaki meningkat lebih 50 peratus dari 1991-1993 sehingga 2003-3006.

Di seluruh dunia terdapat anggaran 2.6 juta jangkitan baru tahun lalu, menurun daripada kira-kira 3.3 juta ketika kemuncak epidemik AIDS pada 1999, menurut De Lay.

“Ia adalah peningkatan perlahan namun tetap,” kata De Lay, yang meramalkan pada kadar terkini ia mengambil kira-kira 50 tahun untuk menguasai Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit itu.

Sebanyak 370,000 bayi setahun yang dilahirkan dengan AIDS menurun daripada 500,000 setahun pada awal dekad ini dan satu laporan baru PBB berkata tidak mustahil untuk menghapuskan jangkitan AIDS ibu kepada bayi menjelang 2015.

Pada hakikatnya tiada bayi dilahirkan dengan jangkitan AIDS di Eropah dan Amerika Utara kerana negara kaya melancarkan imbasan agresif dan program pencegahan pada 1990-an.– AFP

No comments:

Post a Comment