POLIGAMI adalah penawar dan ia sepatutnya tidak menimbulkan masalah kerana tujuan pensyariatannya bagi menyelesaikan masalah.
  Bahkan poligami disyariatkan bagi mengelak masyarakat terbabit  dengan pelbagai gejala moral yang boleh meruntuhkan institusi rumah  tangga.
  Malah, jika diteliti keburukan berpoligami jauh lebih baik bagi  masyarakat, keluarga dan individu dibandingkan dengan keburukan  membiarkan umat Islam terbabit dengan kancah zina dan persundalan dengan  sewenang-wenangnya.
 Justeru itu, sesiapa saja yang ingin berpoligami perlu mengikut  segala peraturan   ditetapkan sama ada berlandaskan hukum syarak yang  menetapkan syarat berlaku adil mahupun aspek perundangan syariah negara  bagi mengelak suasana haru-biru yang mencemarkan imej institusi  kekeluargaan Islam. 
Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada yang mengambil jalan  mudah berpoligami di negara jiran seperti di Selatan Thailand yang boleh  dipertikaikan status pernikahannya.  
 Di Malaysia kebenaran untuk berpoligami tertakluk kepada  peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam yang dikanunkan di seluruh  negeri.
 Melihat kepada peruntukan undang-undang yang begitu ketat sebenarnya sukar untuk  suami berkahwin lagi.
 Namun, ini tidak bermakna poligami diharamkan. Penetapan  undang-undang yang sebegitu rupa digubal supaya hak dan kepentingan  isteri sedia ada terjamin dan tidak dizalimi di samping itu juga bagi  memastikan bahawa keadilan dapat diberikan kepada isteri-isterinya.
 Disamping itu, ia juga bagi memelihara keperluan anak-anak yang kemungkinan terabai akibat perkahwinan yang baru.
 Peruntukan sebegini juga perlu supaya keharusan berpoligami tidak  disalahgunakan dan imej poligami Islam yang baik dapat dizahirkan.
Perlu juga diingat poligami bukan tiket untuk berseronok dan melampiaskan nafsu semata-mata.
 Poligami juga bukan hak eksklusif untuk suami berkahwin lagi.
 Suami yang ingin berpoligami tertakluk kepada syarat boleh berlaku  adil antara semua isteri dan anak-anak yang di bawah tanggungannya. 
 Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah yang  bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil kepada  anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua,  tiga atau empat.
 “Tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap  isteri-isteri) maka kahwinilah seorang saja, atau budak-budak yang kamu  miliki. Yang demikian itu itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat  aniaya.” (Surah al-Nisa’;3).
 Baginda Rasulullah turut memberi peringatan dengan sabdanya yang  bermaksud: “Barang siapa memiliki dua orang isteri dan dia melebihkan  salah seorang daripadanya, maka akan dibangkitkan di hari kiamat kelak  dalam keadaan bahunya senget sebelah”.
MOHD ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor  Bahru

No comments:
Post a Comment