KUALA LUMPUR: Pihak jabatan agama Islam turut digesa mengadakan operasi mencegah maksiat di hotel bertaraf lima bintang selain hotel bajet sempena sambutan Hari Kekasih, hari ini.
Naib Presiden, Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Ir Mohamed Hassan KB Hamzah berkata kes maksiat bukan hanya berlaku di hotel bajet malah merangkumi hotel yang dianugerahkan tiga hingga lima bintang serta rumah tumpangan.
   “Diakui hotel bajet sentiasa menjadi pilihan  berikutan lokasinya yang strategik dan harga berpatutan bagi pasangan  terdiri di kalangan pelajar.
“Kita sememangnya tidak menggalakkan aktiviti sosial berlaku di mana-mana hotel berikutan ia bakal merosakkan nama pusat penginapan berkenaan.
   “Kita tidak pernah lepas tangan dalam menangani  masalah khalwat malah kita juga melaksanakan kaedah yang dilihat  efektif seperti menjalinkan kerjasama baik dengan pihak jabatan agama  berkaitan.
  “Kebanyakan hotel kita terutama milik pengusaha  Islam meletakkan notis amaran bagi pasangan bukan muhrim mengambil bilik  yang sama manakala lebih ekstrem, kita juga meminta pelanggan  menunjukkan dokumen sah perkahwinan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, kaedah berkenaan diadakan secara berterusan bukan hanya tertakluk pada hari tertentu berikutan kes maksiat tidak bermusim.
    Beliau turut menafikan segelintir pengusaha hotel bajet berpakat  dengan pelanggan mengaburi mata pihak jabatan agama membenarkan  perlakuan maksiat semata-mata mengaut keuntungan.

No comments:
Post a Comment